Sahabat Maya

Rabu, 20 Jun 2012

Kita akan mula menghargai bila bahagia telah berlalu pergi

Kak chik mulakan bicara petang itu dengan penuh emosi..."Kenapa kita mula menangis bila seseorang itu dah pergi?" Sesekali bayu petang mula menghembus perlahan. Tingkap yang tertutup tadi sedikit terkuak.

Aku mula bersuara " Manusia kak chik, memang macam tu. Bila benda yang ada depan mata, tak pernah bersyukur. Tapi bila dah hilang, mulalah nak rindu...Semua itu fitrah" 

Kipas lama yang berpusing mula berkeriut. Air teh ais yang mak buat aku teguk...Sejuk tekak, amaaat. Terasa terubatnya tekak dek belaian teh ais buatan mak tersayang.Angin petang ini sejuk sekali. Nyaman.


"Aku bukan tak sayang dia kak long, tapi perangai dia kadang-kadang buat aku tak tahan la. Kadang-kadang kongkong, kadang-kadang buat macam aku ni tak wujud" Kak Chik diam sedari tadi mula bersuara kembali.


"Kita akan mula menghargai bila bahagia yang kita rasa telah pergi" Laju sahaja ayat itu terungkap dari bibirku.


"Ya, kita rasa rimas bila orang tersayang kongkong kita, tapi kita juga rasa tak betah bila orang   itu  buat macam kita tak wujud dalam dunia. Hakikatnya, kita tanya hati kecil, apa yang kita mahu sebenarnya? Kenapa bila dia di sisi kita tak hargai, namun bila dia tiada lagi kita mula menangisi?"

Kak chik bingkas bangun memeluk aku...Petang itu ku rasakan sayu & tangisannya mengungkap segalanya.